Pages

Wednesday, April 29, 2009

TIADA BIDAYUH DALAM KABINET

Pengumuman kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menunjukkan masih tiada wakil dari kaum minoriti Bidayuh di barisan kabinet ini. Di Sarawak, ahli parlimen di kalangan masyarakat Bidayuh terdiri daripada 3 orang yang masing-masing mewakili tiga parti yang berbeza, 1 PBB, 1 SUPP dan 1 SPDP. Dapat dilihat dari sejarah bahawa kaum Bidayuh tetap setia dan menyokong agenda pembangunan Barisan Nasional. Akan tetapi masih tiada wakil dari kaum Bidayuh dalam kabinet baru Datuk Seri Najib maupun kabinet mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun isu ini sengaja digemparkan dan digemburkan oleh sesetangah pihak. Pelbagai persoalan timbul seperti adakah nilai kesetiaan kaum Bidayuh kepada BN selama ini sehingga tiada seorang pun dilantik menjawat menteri atau timbalan menteri.

Pada pendapat saya, ada ke tidak ke wakil dari kaum Bidayuh dalam kabinet bukan persoalannya. Persoalannya adakah pengwujudan seorang atau lebih kaum Bidayuh dalam kabinet yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri mampu mengubah atau membawa pembangunan yang besar ke kawasan Bidayuh?

Kalau dilihat pada sejarah, berapa banyak timbalan menteri atau menteri di kalangan kaum Bidayuh telah dilantik samada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, namun tinjauan kawasan menunjukkan tiada perubahan yang ketara berlaku. Cuma yang dapat didengar, andaian yang mengatakan bahawa mereka bekerja untuk kepentingan diri sendiri sahaja dan bukan untuk rakyat. Rakyat masih di tokok yang sama, namun mereka menjadi kaya raya. Kedengaran juga andaian mereka meluluskan projek bernilai jutaan ringgit di negeri lain, akan tetapi di kawasan sendiri, nilai projek cuma di tokok projek-projek kecil luar bandar sahaja.

Kesimpulannya, ketiadaan wakil rakyat di kalangan kaum Bidayuh bukan bermakna kerajaan melupakan terus kaum kita. Justeru itu, saya menyeru kepada rakan Bidayuh yang lain, janganlah terlalu emosi mengenai perkara ini, cuba lihat dari perspektif yang positif seperti menjadi titik tolak kepada kita untuk menjadi lebih tekun bekerja dan terus berusaha mengubah nasib kita. Kita tidak akan berubah melainkan kita mengubah diri kita sendiri untuk maju ke hadapan dan saya melihat samada salah satu bangsa memegang jawatan tinggi bukanlah satu faktor yang penting yang mampu membawa kejayaaan kita. Sama-samalah kita renungkan.

No comments: